Apakah itu fitrah?
Fitrah boleh diertikan sebagai sifat semula jadi pada setiap makhluk-Nya, yang inginkan kebaikan dan menghindari segala kemudaratan ketika dilahirkan di dunia. Fitrah merangkumi seluruh aspek kehidupan, bermula dari diri sendiri, kepada masyarakat, kepada makhluk yang lain sehinggalah kepada hubungan manusia kepada Tuhan.
Fitrah bagaikan sehelai kain putih. Kelahirannya dalam keadaan suci dan bersih. Fitrah manusia yang paling bersih apabila dia pertama kali dilahirkan, manakala fitrah manusia yang paling suci apabila dia mengenal hubungannya dengan Tuhan.
Ia selari dengan kehendak Allah, menepati kewujudan sunnahtullah dan syariatullah. Perangkuman fitrah menuruti jalan kebenaran dan kemuliaan tuhan. Sebagaimana istilah cinta itu diciptakan.
Kehendak cinta antara manusia sehingga cinta kepada Allah, adalah perkara yang wujud sebahagian daripada fitrah manusia. Manusia meraih kalimah cinta untuk melindungi, memelihara, melengkapi dan menyayangi sebagai keperluan untuk meneruskan kelangsungan dalam kehidupan.
Namun, kewujudan cinta atas landasan fitrah hilang apabila ia datang kerana nafsu dan rakus menjadi syaitan. Ketika nafsu dan syaitan merajai segala tindakan manusia, tiada lagi pengertian fitrah dalam perbuatannya. Apabila kesesatan itu terjadi, manusia menjadi antara makhluk yang memiliki sifat tercela dan mengundang kemurkaan Azza wa Jalla.
Pengembalian cinta kepada fitrah adalah salah satu jalan kebenaran. Kini, makin ramai manusia hilang pedoman dan menjauhi dari fitrah makhluk ciptaan Tuhan. Kesesatan yang semakin jauh dalam menilai erti cinta, semakin lama semakin hampir dengan bala Allah kepada para makhluk-Nya yang berakal, tetapi kufur dan durhaka kepada-Nya.
Kepada para mukminin, carilah erti fitrah cinta yang teragung, cinta Allah s.w.t. Ia tidak berpenghujung, ia sentiasa dipelihara dan dilindungi oleh-Nya. Ungkapkanlah kalimah cinta yang teragung sehingga ke akhir hayat ini, agar mencapai keindahan cinta yang abadi.
Cinta Allah itu adalah sumber untuk mencintai segala dan semua. Iman kepada Allah dan kasih-sayang sesama manusia sangat erat keterkaitannya.
Ramai pasangan suami isteri yang terlibat dengan perkahwinan yang tidak dimulakan dengan cinta, berjaya juga membina kebahagiaan rumah tangga kerana kekukuhan keduanya mencintai agama. Ini kerana perkahwinan itu sendiri telah memulakan cinta suci mereka.
No comments:
Post a Comment